Monday, 5 September 2016

Satu

                    Aku tak pernah ambil kira. Tak pernah terfikir. Apatah lagi bermimpi untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini. Sungguh, langsung tidak pernah terlintas dalam minda mahupun hati. Namun aku yakin, setiap yang telah aku perolehi pasti ada hikmah-Nya yang tersendiri.

Dari dulu, sejak dulu, aku cuma bermimpi untuk menjadi seorang doktor. Bekerja sebagai seorang doktor. Pada hujung semester 2, aku hampir selangkah demi selangkah apabila namaku tersenarai dalam senarai temuduga bagi kursus perubatan. Tapi siapa sangka, baru-baru ini saat keluarnya keputusan lanjutan pengajian, terpapar bahawa kejururawatan merupakan program yang akanku teruskan bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda. Reda.

Teringat saat hujung semester, saat aku keliru sama ada untuk memilih program Sains Kognitif atau Kimia Sumber sebagai pilihan kedua, hati aku tergerak untuk memilih Kejururawatan. Pilihan ini kuikut kerana seolah-olah aku diberri petunjuk selesai istikharah. Saat aku keliru, hanya istikharah yang aku mampu lakukan. Memohon mudah-mudahan ditunjukkan untuk aku jalan yang terbaik.

Terkedu. Saat keluarnya keputusan, tipulah kalau aku katakan tiada rasa sedih apabila program yang diimpi-impikan selama ini tidak tercapai. Kerana kemungkinan tiada jalan lagi untuk aku meneruskan impian ke bidang perubatan. Namun aku tidaklah terlalu sedih, mungkin inilah dia kuasa tawakkal.

Berbekalkan kosong minat, kosong pengetahuan, kosong dari segala segi, aku membuat keputusan untuk meneruskan program ke jalan ini. Siapa tahu mungkin inilah yang terbaik. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit aku mula menanam minat dalam program ini. Mungkin disebabkan aku tak pernah benci ataupun suka, tapi tanpa apa-apa rasa.

Hari ini hari pertama aku ke kelas, bermacam-macam taklimat diberikan. Dengar dan dengar, mulai rasakan bahawa kejururawatan ini merupakan suatu kursus yang menarik. Atas azam untuk menyumbang semula kepada masyarakat dengan ilmu perubatan yang ada; niat sejak dahulu saat amat inginkan ke bidang perubatan, aku berniat untuk teruskan belajar. Moga kekal tabah.

Seorang pensyarah ada berpesan, "Jika kamu benar-benar tak suka akan kursus kejururawatan ini, jangan buang masa, buang duit. Tinggalkan dan carilah apa yang kamu inginkan. Andai benar-benar suka, bertabahlah dan teruskan perjalanan. Tetapi kalau kamu sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang dirasai, teruskan, cubalah dahulu. Saya sendiri pun sejak dahulu amat tak suka akan kursus ini tapi tanpa disedari cinta saya terhadap bidang kejururawatan mula timbul sedikit demi sedikit sehinggakan saya sendiri dah bergelar seorang Professor."

No comments:

Post a Comment