Tuesday, 13 September 2016

Dua

Sudah hampir seminggu aku menjadi budak nursing. Sekadar permulaan, minat aku terhadap bidang ini semakin meningkat dari hari ke hari. Bawah satu bumbung dengan pelajar-pelajar program perubatan, kini aku lebih jelas tentang perbezaan antara dua program; perubatan dan kejururawatan.

Benar kata salah seorang pensyarah dalam kelas, seorang jururawat tidak hanya menolong doktor semata-mata. Kitalah yang menjaga, bersama dengan pesakit dan banyak lagi tugasan yang jururawat lakukan. Malahan sejak di peringkat pengajian lagi, seorang bakal jururawat memerlukan pengetahuan terhadap pemahaman manusia. Berbanding dengan bakal doktor pada peringkat permulaan ini mereka telah pun mula memecut untuk mempelajari segala terma-terma dan sains kesihatan bagi bidang yang mereka jalani.

Memandangkan aku seorang yang lebih praktikal, aku dapati kejururawatan semakin cocok buatku. Sungguhlah, apa-apa yang diperolehi itu sebenarnya ada hikmah yang tersendiri.

"I'm not giving up medicine. But I'm going through a path in which medicine is on the line after the understanding of the patients." -IDS

Pensyarah sering berpesan pada kami, tambah-tambah di saat awal ini agar kami tidak membazirkan masa. Kata kebanyakan mereka, bukan semua orang mampu jadi jururawat. Kalau rasa tidak tabah untuk hadapi najis, darah, luka dan pelbagai situasi yang tak disangka-sangka, jururawat bukanlah jalan yang sesuai. Kata mereka lagi, kalau benar-benar tidak meminati bidang ini, silalah keluar daripada jalan ini sebelum lebih banyak masa digunakan untuk mempelajari bidang yang bukan minat kita.

Meski dalam keadaan masih ragu-ragu dan sentiasa berfikir apakah kesudahan aku nanti, aku tekad untuk teruskan jalan ini. Kerana lebih jauh aku bergerak, makin luas pandangan aku terbuka.

"Kamu dah sedia ke nak hadapi pelbagai ragam pesakit? Jangan bersedia dahulu. Kamu masih belum banyak persediaan dan bekalan." -Pensyarah

Petang tadi aku terjumpa dengan seorang ibu kepada rakan. Pesannya, banyakkan bekalan dalam diri. Jururawat merupakan orang yang bakal berada dekat dengan pesakit. Saat mereka berserah sepenuhnya kepada doktor dan jururawat, sedarkan mereka ada lagi atas yang perlu mereka serahkan diri.

Terima kasih atas pesanan yang bermakna.

Aku masih di tahun satu, malah masih baru beberapa minggu, tapi masih juga belum membuat keputusan apakah ini jalan yang bakal aku tuju?

No comments:

Post a Comment